Sekiranya anda telah menjalankan perniagaan dalam tempoh yang lama, anda mahukan perniagaan anda berkembang dengan lebih besar dalam jangka masa panjang. Pilihan untuk menubuhkan syarikat berstatus Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), Sendirian Berhad atau Berhad akan sentiasa berada dalam fikiran pemilik perniagaan.
Artikel ini akan membantu anda untuk memahami syarikat Sendirian Berhad dan kebaikannya untuk masa depan perniagaan anda.
Apa itu syarikat Sendirian Berhad?
Syarikat Sendirian Berhad adalah salah satu jenis entiti perniagaan yang tertakluk di bawah Akta Syarikat 2016 (pindaan 1965). Syarikat Sendirian Berhad memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang ahli bagi menajanya dan dihadkan kepada 50 orang sahaja dalam satu-satu masa.
Mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 2016 (pindaan 1965), sesebuah syarikat Sendirian Berhad mempunyai sifat-sifat seperti seorang manusia, iaitu mempunyai namanya sendiri, boleh didakwa atau mendakwa atas namanya sendiri di mahkamah, mempunyai alamat yang tertentu, mempunyai aset atas namanya sendiri, tertubuhnya bersepanjang sehingga tindakan diambil bagi membubarkannya, (perpetual seccession) walaupun ada di antara ahli-ahlinya yang meninggal dunia.
Kelebihan membuka syarikat Sendirian Berhad
Boleh menjual syer saham
Pemilik syarikat mempunyai hak untuk menjualkan syer saham mereka kepada orang awam demi mendapatkan modal yang lebih tinggi untuk mengembangkan syarikat. Pemilik syarikat juga dilindungi oleh undang-undang.
Tidak mengganggu kewangan peribadi
Pemilik syarikat Sendirian Berhad akan memiliki entiti berasingan yang dapat menyelamatkan anda sekiranya syarikat anda berhutang. Kelebihan tersebut membuatkan aset peribadi anda tidak akan terjejas oleh hutang syarikat.
Membantu perkembangan perniagaan
Perniagaan yang mempunyai tahap Sendirian Berhad mempunyai potensi yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dengan kewujudan syer saham, mereka boleh berkembang dengan cepat.
Pemilik perniagaan yang terjamin
Berbandingan perniagaan tahap Enterprise, syarikat akan lebih dijamin daripada segi pemilikan. Apabila pemilik perniagaan sudahpun meninggal dunia, syarikat anda masih boleh dibenarkan untuk beroperasi secara bebas.
Pemilik tidak boleh didakwa di mahkamah
Kelebihan syarikat Sendirian Berhad adalah syarikat anda boleh didakwa dan mendakwa di atas namanya sendiri tanpa menggunakan nama individu.
Cara menubuhkan syarikat Sendirian Berhad
Terdapat beberapa langkah yang penting untuk pemilik perniagaan ikuti bagi menubuhkan syarikat Sendirian Berhad. Saya ingin berkongsi langkah-langkah ini agar tiada lagi kekeliruan yang anda perlu lalui.
- Bakal pemilik syarikat perlu melantik setiausaha syarikat yang akan membantu hal-hal berkaitan penubuhan syarikat.
- Bakal pemilik syarikat perlu mengisi Borang A, Pendaftaran Perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
- Bakal pemilik syarikat perlu menyediakan beberapa dokumen penting seperti :
- Tiga pilihan nama syarikat.
- Tiga cadangan aktiviti perniagaan syarikat.
- Cadangan akaun bank syarikat.
- Alamat tempat tinggal bakal pengarah syarikat (jika alamat berbeza dengan kad pengenalan).
- Alamat tempat tinggal bakal pemegang saham syarikat (jika alamat berbeza dengan kad pengenalan).
- Nama penandatangan buku cek syarikat.
- Syarat penandatangan buku cek syarikat.
- Salinan kad pengenalan bakal pengarah dan bakal pemegang saham syarikat.
- Bakal pemilik syarikat perlu membuat temujanji dengan setiausaha syarikat bagi menguruskan dokumentasi dan penghantaran dokumen ke SSM. Proses penubuhan syarikat menerusi SSM akan mengambil tempoh antara 5 hingga 10 hari hari bekerja.
- Setiausaha Syarikat akan menerima Sijil Penubuhan Syarikat Sendirian Berhad (Borang Seksyen 17) yang dikeluarkan oleh SSM menandakan syarikat berjaya ditubuhkan.
- Setiausaha Syarikat akan memberikan Borang Seksyen 17 bersama Borang Seksyen 14, Notis Seksyen 15 dan Notis Seksyen 58 dan 236 (2) dan resolusi pembukaan akaun bank syarikat kepada pemilik syarikat.
- Setelah pemilik syarikat menerima kesemua dokumen, perniagaan syarikat Sendirian Berhad anda boleh dijalankan secara sah.
Perjalanan anda untuk membina sebuah perniagaan berstatus Sendirian Berhad akan menjadi lebih baik sekiranya urusan perakaunan dan percukaian diuruskan dengan betul. Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan pengurusan perakaunan dan percukaian, hubungi saya sekarang!