Dengar saja nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mesti ramai yang akan merasakan seram dan takut. Apatah lagi LHDN memang terkenal sebagai agensi percukaian, sehinggakan mendapat emel newsletter LHDN seperti ucapan hari lahir pun ramai yang boleh ketar lutut.
Sebab itulah, apabila seseorang dihubungi dan diperkenalkan sebagai ‘pegawai LHDN’ ramai yang akan ‘kecut perut’ dan mengalami tekanan sehingga mengikut apa sahaja arahan yang diberikan oleh mereka yang dikatakan mewakili LHDN. Teknik-teknik ‘scammer’ LHDN ini amat banyak sehinggakan ada yang terpedaya dan mengalami kerugian wang ringgit.
Saya ingin menyenaraikan beberapa teknik ‘scammer’ yang popular yang mengaku sebagai wakil LHDN, supaya anda lebih berwaspada.
Kes tunggakan cukai atau pelarian cukai
Teknik ini adalah teknik yang amat popular dalam kalangan teknik-teknik ‘scammer’ LHDN. Mangsa akan menerima surat, SMS, emel atau panggilan telefon daripada ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai mewakili Ibu Pejabat atau cawangan LHDN yang memaklumkan terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan oleh mangsa.
‘Pegawai’ ini akan meminta mangsa untuk menjelaskan tunggakan cukai dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pihak ketiga bagi mengelakkan tindakan undang-undang. Akaun bank yang diberikan kebiasaannya adalah akaun bank peribadi yang dipercayai digunakan sebagai ‘keldai akaun’.
Terdapat juga kes di mana mangsa diminta oleh ‘pegawai’ tersebut untuk memuat turun aplikasi palsu di telefon pintar atau diminta berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu bagi membuat transaksi pembayaran tunggakan cukai. Reka letak laman web palsu ini kelihatan amat mirip dengan laman web perbankan sedia ada, dengan pautan tersebut berbeza dengan pautan laman web perbankan yang asal. Setelah aplikasi tersebut dimuat turun dan butiran peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan dimasukkan, ‘scammer’ dapat memecah masuk akaun bank mangsa dengan mudah.
Kegiatan jenayah atau penggubahan wang haram
Kebiasaannya, ‘pegawai’ akan menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes pelarian cukai, jenayah dan kegiatan pengubahan wang haram yang boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Menerusi akta ini, ‘pegawai’ akan mengancam mangsa untuk menyekat penggunaan akaun bank mangsa.
Bagi menjadikan situasi seakan-akan benar dan dipercayai, ‘pegawai’ ini akan menyambungkan talian kepada ‘pegawai polis’, ‘pegawai SPRM’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa. Para ‘pegawai’ ini akan mencetuskan perasaan panik dan takut kepada mangsa dan meminta supaya mangsa mengikuti arahan mereka.
Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, ‘pegawai’ ini akan mengarahkan mangsa untuk memindahkan kesemua jumlah wang di dalam akaun bank mangsa ke akaun bank pihak ketiga bagi tujuan siasatan dan akan dipindahkan semula ke akaun bank milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.
Lawatan untuk siasatan cukai
‘Scammer’ yang bertindak sebagai ‘pegawai LHDN’ akan membuat lawatan ke premis atau pejabat untuk membuat audit dan siasatan cukai. ‘Pegawai’ ini akan meminta dokumen-dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa untuk semakan. Masalah akan bermula apabila ‘pegawai’ ini memaklumkan terdapat kesilapan pada pelaporan cukai pendapatan yang boleh mengakibatkan mangsa menghadapi tindakan undang-undang seperti denda dan penjara.
‘Pegawai’ ini akan mengarahkan mangsa untuk membuat baki pembayaran cukai dengan segera menerusi akaun ketiga.
Bayaran cukai terlebih bayar
Teknik ‘scammer’ yang ini nampak lebih ‘harmoni’ daripada teknik-teknik yang saya tuliskan di atas disebabkan kelihatannya anda tidak perlu risau terhadap tindakan undang-undang, tetapi dalam masa yang sama teknik ini seumpama ‘memancing gula’ yang menjerat mangsa sekiranya anda tidak berhati-hati. ‘Scammer’ akan menyamar sebagai seorang pegawai menghantar e-mel atau SMS yang memaklumkan tentang cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDN.
Menerusi e-mel atau SMS yang dihantar, mangsa akan diminta untuk klik pada pautan yang membawa mangsa ke laman web yang meminta mangsa mengisi butiran akaun bank termasuklah nama pengguna dan kata laluan perbankan internet yang kononnya akan memudahkan pihak LHDN membuat transaksi bayaran balik dengan segera.
Penyamaran sebagai pegawai cukai
Penyamaran sebagai pegawai cukai adalah teknik popular yang lebih dikenali dengan ‘teknik spoofing’. Mangsa akan dihubungi oleh ‘pegawai LHDN’ dan menyamar seperti ‘pegawai’ ini menggunakan talian rasmi LHDN.
Menerusi panggilan telefon ini, mangsa yang panik akan memberikan maklumat sulit kepada scammer dengan harapan tiada lagi tuduhan-tuduhan yang tidak dilakukan akan disabitkan kepada mangsa. Informasi dan maklumat sulit mangsa ini akan digunakan untuk membuat pindahan ke akaun bank pihak ketiga, manakala suspek tidak dapat dihubungi semula.
Kesimpulannya, anda tidak perlu risau sekiranya anda tidak mempunyai masalah percukaian dan perakaunan kerana LHDN tidak akan menghubungi anda bagi mendapatkan informasi lanjut menerusi talian hotline, emel dan Whatsapp yang mencurigakan. Uruskan perakaunan anda dengan baik bagi mengelakkan anda merasa terbeban dan tertekan apabila tiba tarikh akhir pengisytiharan cukai anda. Sekiranya anda masih lagi belum memulakan pendokumentasian perakuanan anda, saya sedia membantu.
Hubungi saya sekarang untuk konsultasi, klik di sini.